Selasa, 2 April 2013

Solat Jumaat Dan Beberapa Hukum Berkaitan Dengannya.


Wahai orang-orang beriman! Apabila diseru untuk solat Jumaat, maka segeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkanlah segala urusan jual beli . itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Dan apabila selesai mengerjakan solat, bersurailah di serata ceruk bumi dan carilah kurniaan Allah  dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya mudah-mudahan kamu beruntung. Dan ketika mereka melihat perniagaan serta permainan (hiburan), mereka berlari ke situ dan meninggalkan engkau yang sedang berdiri (membaca khutbah). Katakanlah “Apa yang ada disisi Allah itu lebih baik daripada hiburan dan urusan perniagaan. Dan Allah itu sebaik-baik pemberi rezeki. (surah al-Jumaah, ayat 9-11).

Ringkasnya, surah al-Jumaah mengandungi 11 ayat dan ia diturunkan di Madinah. Dinamakan al-Jumaah kerana ayat-ayat terakhirnya iaitu ayat 9,10 dan 11 membahaskan perihal solat jumaat. Hari jumaat adalah hari yang paling utama dan mulia bagi sekalian umat Islam. Keutamaan dan kemuliaannya dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari jumaat. Padanya (hari jumaat) diciptakan Adam a.s, dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga pada hari jumaat, dikeluarkannya dari syurga pada hari jumaat dan tidak berlaku hari kiamat kecuali pada hari jumaat”. (hadis daripada Abu Hurairah r.a dan diriwayatkan dalam shahih Muslim, jilid 2, hlm 585).

Manakala dalam kitab al-Muwatta`, al-Imam Malik menukilkan hadis Rasulullah “Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya ialah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam a.s, pada hari jumaat dia (Adam) dikeluarkan dari syurga. Pada hari jumaat Adam a.s bertaubat dan pada hari itu juga dia wafat. Padanya berlaku hari kiamat. Semua makhluk yang melata tidak terkecuali akan berteriak kuat pada hari kiamat dari pagi subuh hinggalah terbit mahatari pada hari Jumaat kecuali manusia dan jin. Pada hari itu, kiamat tidak akan mengganggu hamba Allah yang sedang solat dan memohon sesuatu daripada Allah dan diperkenankan permohonan itu”. Itulah antara beberapa petikan mafhum hadis Rasulullah yang menggambarkan betapa utama dan mulianya hari Jumaat dalam calendar umat Islam sejak dulu, kini dan selamanya. Sebelum didetailkan perbahasan mengenai beberapa masalah fiqh dalam mafhum ayat 9-11 ini, wajar difahami; meskipun solat jumaat adalah wajib (fardhu ain) berdasarkan ijma` ulama`, namun ia adalah terkecuali ke atas beberapa individu sepertimana yang dinyatakan oleh Rasululllah sendiri “Sesiapa yang beriman (mukallaf) kepada Allah dan hari akhirat, maka dia wajib menunaikan solat jumaat kecuali wanita, orang dalam perjalanan (musafir), hamba abdi dan juga orang sakit”. (diriwayatkan oleh al-Dar Qutni). Rukun jumaat dua perkara, iaitu; khutbah dan solat dua rakaat.

Dalam ayat 9, golongan yang beriman kepada Allah diingatkan agar segera mengingati Allah apabila mereka diseru berbuat demikian, iaitu setelah mendengar azan.  Dalam Tafsir al-Jalalain, mengingati Allah bermaksud solat jumaat. Adapun bagi Sayyid al-Sabiq dalam kitab Fiqh al-Sunnah, mengingati Allah itu bermaksud khutbah jumaat. Berkaitan dengan seruan azan untuk solat jumaat, timbul perselisihan pendapat; Azan yang mana satukah yang diwajibkan agar umat Islam bersegera (bergegas)? Adakah ia azan pertama atau azan kedua? Azan pertama dilaungkan sebagai makluman masuknya waktu solat jumaat mengikut pendapat para fuqaha al-Hanafiyyah. `. Azan kedua pula ketika imam menaiki mimbar untuk berkhutbah merupakan pendapat jumhur ulama`. (Manakala Azan ketiga bermula pada zaman khalifah Othman bin Affan).

Dalam ayat 9 ini juga dinyatakan agar umat Islam meninggalkan urusan perniagaan merupakan dalil  bahawa segala urusan jual beli dan urusan-urusan kehidupan yang lain adalah diharamkan ketika azan berkumandang. Dalam masalah ini, para fuqaha` Islam juga berselisih  pendapat adakah aqad jual beli pada ketika itu sah ataupun batal? Ada sebahagian ulama` seperti Ibn al-Arabi dan al-Qurtubi mengatakan aqad tersebut batal. Namun kebanyakkan Ulama terutama sekali al-Imam Malik dan al-Zamakhsyari menegaskan bahawa aqad itu adalah haram tetapi tidak batal seumpama menunaikan solat di atas tanah yang dirampas secara zalim yang mana solat itu tetap sah tetapi hukumnya adalah makruh. Begitu juga dengan aqad-aqad yang lain.  Dalam ayat ini, jumhur ulama berpendapat; pengertian “Segeralah mengingati Allah” adalah satu dalil bahawa khutbah jumaat merupakan  syarat sah solat jumaat. Malah bagi golongan al-Syafieyyah dan al-Hanabilah; seorang khatib disyaratkan mengemukakan dua khutbah yang mengandungi pujian kepada Allah, selawat ke atas nabi, bacaan ayat-ayat al-Quran dan pesanan agar bertaqwa kepada Allah.

Dalam ayat 10, Allah Taala mengharuskan ke atas sekalian umat Islam untuk bersurai dan kembali menyambung semula segala urusan masing-masing yang ditinggalkan kerana menyahut seruan Ilahi. Manakala dalam kupasan ayat 11 pula, Tafsir al-Jalalain dan Dr.Wahbah al-Zuhaili dan kitabnya, al-Tafsir al-Wajiz ala Hamisy al-Quran al-Azim menegaskan berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmidhzi “Suatu hari ketika Rasulullah sedang berkhutbah jumaat, seekor unta yang sarat membawa makanan muncul dengan diiringi paluan gendang dan tiupan serunai. Maka semua mereka keluar beramai-ramai menuju ke arah hidangan tersebut kecuali 12 orang sahaja yang tinggal mendengar khutbah jumaat, lalu Allah Taala turunkan ayat 11 ini sebagai teguran atas tindakan mereka itu. Timbul 15 pendapat yang mengatakan tentang bilangan ahli jumaat. Antaranya ialah; ada juga yang berpendapat jumlah minority ahli jumaat adalah berdasarkan jumlah 12 orang yang tinggal mendengar khutbah Jumaat seperti mana dalam kisah tersebut. Bagi al-Imam Syafie, al-Syafieyyah dan al-Hanabilah jumlah ahli Jumaat ialah sekurang-kurangnya 40 orang. Golongan al-Hanafiah berpendapat memadai dengan empat orang dan salah seorangnya adalah imam. Menurut al-Imam Abu Hanifah; memadai dua orang termasuk imam. Manakala bagi al-Imam Malik pula, tidak ada kuantiti bilangan yang khusus kerana al-Quran tidak menetapkan jumlah ahli Jumaat secara jelas.