Isnin, 29 April 2013

PRU-13: Usah tertipu kali kedua dengan manifesto pembangkang


KUALA SELANGOR 29 April - Masyarakat di daerah ini diingatkan agar berhati-hati dengan manifesto pakatan pembangkang yang menawarkan pelbagai janji untuk memancing undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, Jakiran Jacomah berkata, rakyat tidak seharusnya tertipu serta terperangkap dengan permainan politik pakatan pembangkang.

Beliau menegaskan, dalam tempoh lima tahun menjadi kerajaan negeri, pakatan pembangkang tidak menunaikan janji mereka sehinggakan rakyat sendiri seperti golongan ibu tunggal dan warga emas merasa kecewa lantas bangkit menuntut hak mereka di mahkamah.

"Mereka janji macam-macam kepada rakyat. Janji hendak turun harga minyak, turun harga kereta, beri pendidikan percuma namun mereka tidak perincikan secara jelas bagaimana pelaksanaan janji tersebut dan dari mana sumber kewangan untuk menunaikan janji tersebut.

"Jadi rakyat perlu hati-hati dengan manifesto Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

"Rakyat perlu ambil iktibar daripada kegagalan pembangkang menunaikan janji dalam manifesto mereka kepada rakyat Selangor hingga hari ini," katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Assam Jawa di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE