Isnin, 15 April 2013

ASAL USUL MELAYU : DARI BANGSA ISRAEL ?


Bangsa Melayu menurut ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah, berasal dari isteri ketiga Nabi Ibrahim a.s. yang bernama Siti Qanturah. Namun lebih disebut dalam sejarah atau bahasa lama, Keturah yang bererti harum, wangi baik budi pekerti. Jika Bani Israil adalah dari Nabi Ishaq, dan bangsa Arab adalah dari Nabi Ismail, bangsa melayu adalah dari Siti Qanturah atau lebih dikenali sebagai Bani JAWI. Disebut di dalam kitab Ibnu Kathir, JAWI ini bererti yang meyakini Tuhan yang Esa, dan erti lainnya ialah jauh. Jawi yang dikatakan jauh itu berasal dari kalimah arab yang bermakna, 'angin' (jawwu). Ini merujuk kepada betapa jauhnya kedudukan mereka dengan bani Israel dan bangsa arab di sekitar Timur Tengah ini.

Bangsa melayu, juga dikenali sebagai Jawi (yang kemudian bertukar/terkenal dengan jawa) adalah bangsa yang disimpan. Bagi yahudi, mereka lebih kenali sebagai bangsa yang hilang. 'Hilang' kerana 'saudara' mereka dari ibu ke tiga ini tidak dapat dihubungi, tidak tahu di mana berada. 'Hilang' juga kerana mereka mahu menyembunyikan bahawa saudara mereka ini akan menerajui empayar dan menguasai bumi atas nama Islam.

Jadi, apa kaitan Jawi, bangsa yang hilang, bangsa yang disimpan, bangsa dari timur, yang berhidung peset ini dengan kebangkitan Islam ke dua ini? Sebenarnya, bangsa ini adalah bangsa yang disebut di dalam hadis Nabi s.a.w.,

“Satu kaum dari Timur (Pemuda Bani Tamim dan ikhwan) akan muncul, kemudian menyerahkan kekuasaannya kepada Al-Mahdi.”

Menurut ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, kaum dari timur dan timur yang dimaksudkan ialah, bangsa melayu dari Tanah Melayu. Ini tidak menghairankan, kerana mereka memang dipersiapkan. Bukan sahaja mereka dari keturunan Jawi yang hilang itu, bahkan mereka adalah keturunan Ahlul Bait dan para sahabat.

Ini juga adalah doa Nabi Ibrahim kepada keturunannya yang tidak diberikan Nabi atau Rasul dikalangan mereka, namun cahaya Nabi dan Rasul ada bersama mereka.

“Ya Tuhan kami, utuskanlah di kalangan mereka seorang Rasul yang membacakan ke atas mereka ayat-ayat Engkau dan mengajar mereka kitab dan hikmah dan menyucikan mereka, sesungguhnya Engkau Maha Mulia lagi Maha Bijaksana. Ya Tuhan kami kurniakanlah dari isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami seorang penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin dari orang-orang yang bertakwa.”

Doa Nabi Ibrahim diperkenankan Tuhan, lalu baginda mengarahkan anak-anaknya dari Siti Qanturah ini tetaplah di timur. Baginda dikhabarkan bahawa walaupun tiada Nabi atau Rasul dikalangan mereka, Tuhan akan mengutuskan pemimpin yang bertaraf Nabi dan Rasul, yang membawa cahaya Nabi dan Rasul, namun dia bukanlah Nabi atau Rasul. Maka sesuailah dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tentang Imam Mahdi dan Putra Bani Tamim bahawa mereka bukanlah Nabi dan Rasul, namun tanggungjawab dan tugas Nabi dan Rasul itulah yang ditanggung mereka.