Sabtu, 6 April 2013

MENTERI BESAR KELANTAN DINASIHATKAN MENJAGA STATUSNYA

Nik Aziz dinasihat jaga status sebagai MB



KUALA LUMPUR 6 April - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat digesa tidak terus menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengelirukan.

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, Nik Abdul Aziz juga sewajarnya menjaga status beliau sebagai seorang Menteri Besar, pemimpin tertinggi sebuah kerajaan negeri dan parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa berjuang untuk menyatupadukan rakyat Malaysia, namun pemimpin Pas pula bertindak sebaliknya dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan tidak sihat serta boleh memecah-belahkan umat Islam.

"Saya berharap Menteri Besar (Nik Abdul Aziz) tarik balik kenyataan itu supaya membetulkan balik keadaan di peringkat bawahan. Ingatlah dan sedarlah sebagai pemimpin berjawatan tertinggi di Kelantan, jangan sewenang-wenang dan sesuka hati keluarkan kenyataan sebab rakyat mendengar dan sudah tentu ia boleh memberi kesan negatif kepada rakyat dan negeri Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tautan Mahabbah bersama guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130406/po_12/Nik-Aziz-dinasihat-jaga-status-sebagai-MB#ixzz2PgK1KTyl 
© Utusan Melayu (M) Bhd