Isnin, 9 September 2013

Pestabola Merdeka: Malaysia tewaskan Myanmar 2-1

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Malaysia mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka selepas menewaskan Myanmar 2-1 pada aksi kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang malam ini.
Skuad Harimau Muda A meraih enam mata daripada dua perlawanan selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Singapura pada perlawanan pertama kelmarin.
Sementara itu, Thailand yang mengumpul empat mata hasil kemenangan ke atas Singapura dan seri 1-1 dengan Myanmar kelmarin, berpeluang cerah untuk bertemu tuan rumah di pentas final. - UTUSAN ONLINE


Khamis, 5 September 2013

Akhirnya Bront mengaku sudah nikah

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Ramai yang tahu bahawa aktor Bront Palarae, 35, sudah sah bergelar suami kepada seorang penerbit di sebuah agensi pengiklanan pada 31 Ogos lalu.

Majlis pernikahan secara tertutup di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, di sini sempat dihadiri oleh wartawan dan jurufoto Utusan Malaysia.

Bagaimanapun sewaktu berita pernikahan itu disiarkan 3 September lalu, foto majlis yang dihadiri ahli keluarga terdekat itu tidak dapat disiarkan kerana semua gambar dipadam atas arahan seorang kenalan Bront.

Namun untuk tidak menghampakan peminat Bront, Utusan Malaysia berjaya mendapatkan semula foto pernikahan tersebut.

Sebelum ini, Bront telah mengeluarkan satu kenyataan penafian di sebuah portal hiburan bahawa dia telah bernikah.

Bagaimanapun hari ini dalam sebuah portal hiburan dan akhbar tempatan, pelakon filem Psiko Pencuri Hati itu mengaku bahawa dia telah menikah. Majlis resepsi pihak Bront akan diadakan di kampung halamannya di Hatyai, hujung tahun ini.

Pada ketika ini Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, sibuk mempromosi filem Psiko Pencuri Hati, arahan Nam Ron yang mana dia memegang watak Sidi.

Lain-lain pelakon yang menjayakan filem pertama arahan Nam Ron yang mula ditayangkan di pawagam mulai hari ini adalah Sharifah Amani, Sein Ruffedge, Shera Aiyob dan Amerul Affendi. - UTUSAN ONLINE




70 GRO ditahan serbuan di pusat hiburan di JB

JOHOR BAHRU 5 Sept. - Jabatan Imigresen Johor menahan 70 gadis pelayan pelanggan (GRO) dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Stulang Laut, di sini malam tadi.

Mereka yang ditahan dalam serbuan sempena Ops Bersepadu 6P pada pukul 10.30 malam itu ialah 62 warga Vietnam, warga China (7) dan Korea (1) yang berusia 22 hingga 35 tahun.

Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Johor, Masri Adul berkata, operasi disertai seramai 60 anggota dan pegawai setelah mendapat maklumat orang ramai dan risikan.

"Ketika diserbu, semua GRO itu leka melayan pelanggan. Menyedari kehadiran Imigresen, mereka cuba melarikan diri namun gagal setelah dikepung," katanya di sini. - UTUSAN ONLINE




Selasa, 3 September 2013

Sang Saka: A Samad Said diminta serah diri


KUALA LUMPUR - Polis mahu Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyerah diri bagi membantu siasatan polis berhubung insiden mengibar bendera selain Jalur Gemilang pada malam sambutan Ambang Merdeka, di sini, Jumaat lalu.
"Sebelum kami menangkapnya, lebih elok kalau beliau menyerah diri.
"Lagipun, kita anggap kalau berani cabar undang-undang, maka beranilah juga untuk (beliau) tampil ke depan," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Khalid bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perbarisan tamat latihan dan pentauliahan Kor Sukarelawan Siswa-siswi Polis (Suksis) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kesembilan di sini hari ini.
Menurutnya, sasterawan itu merupakan antara tiga individu yang dilaporkan dilihat dalam insiden berkenaan.
Dua individu lain iaitu aktivis propembangkang Adam Adli Abdul Halim dan Hishamuddin Rais ditahan polis malam semalam di Kampung Baru di sini dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Khalid berkata siasatan kes juga mungkin dijalankan tidak hanya mengikut Akta Hasutan 1948, malah mencakupi peruntukan undang-undang lain melibatkan bendera dan lagu kebangsaan.
"Kini mereka (Adam dan Hishamuddin) sedang disoal siasat," katanya.
Pada sambutan malam kemerdekaan Jumaat lalu, sekumpulan aktivitis propembangkang dilihat bertindak mengibarkan bendera lain bagi menggantikan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka di sini.