Jumaat, 19 April 2013

Aishah Ghani Berpesan Agar Keamanan Negara Terus Dipelihara


KUALA LUMPUR - Tokoh veteran wanita UMNO, Tan Sri Aishah Ghani, 90, yang disahkan meninggal dunia kerana sakit tua pada pukul 12.55 petang tadi antara lain sempat berpesan mengenai situasi politik negara.

Anak sulungnya, Shairudin Abd Aziz berkata, walaupun ibunya itu dalam keadaan tidak sihat tetapi beliau masih lagi bercakap mengenai politik yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

"Beliau sempat berpesan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini. Beliau mengharapkan supaya biarlah keamanan negara ini dipelihara sampai bila-bila," katanya semasa ditemubual di kediaman rasminya di Jalan Bukit Ledang, Damansara hari ini.

Aishah mula dimasukkan ke Hospital Gleneagles Kuala Lumpur sejak seminggu lalu kerana mengalami beberapa masalah kesihatan seperti buah pinggang dan hati.

Beliau yang mula menyertai politik sejak 1949 meninggalkan empat orang anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan. Jenazah tersebut bakal dikebumikan sekitar jam 6 petang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara hari ini. - KOSMO!