LAHAD DATU 13 April - Seramai 33 individu menjadi penerima pertama Pingat Kedaulatan Negara (PKN) yang diwujudkan khas bagi menzahirkan penghargaan kepada seluruh anggota keselamatan serta agensi yang terlibat dalam Operasi Daulat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selain 33 penerima itu, pingat tersebut turut boleh diberi kepada mana-mana individu yang berkhidmat dan terlibat secara langsung dalam operasi berkenaan.
"Antara tujuan kita mengadakan majlis ini adalah untuk menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan bagi mengenang jasa, keberanian, kebaktian dan pengorbanan mereka serta semua kakitangan awam yang terlibat.
"Justeru, kerajaan bersetuju mewujudkan pingat penghargaan khas dinamakan PKN yang akan saya sampaikan secara simbolik kepada beberapa individu hari ini. Pingat ini turut boleh diberi kepada sesiapa jua yang berkhidmat dan terlibat secara langsung dalam operasi daulat bagi menentang pengganas Kiram di Lahad Datu," katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Operasi Daulat di Dewan Semai Bakti, Desa Kencana, Felda Sahabat di sini hari ini.
Antara penerima pingat itu adalah tiga anggota VAT 69 yang tercedera dalam pertempuran dengan pengganas pada 1 Mac lalu iaitu Konstabel Mohamad Qaiyum'aiqal Zolkifli, Koperal Mohd. Tarmizi Hashim dan Koperal Azman Ampong.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tawaran saham Bank Rakyat berjumlah RM100,000 kepada keluarga 10 anggota keselamatan yang gugur dalam Ops Daulat bagi meringankan beban mereka untuk menjalani kehidupan tanpa insan-insan penting dalam hidup masing-masing.
"Dengan dividen dibayar Bank Rakyat sebanyak 15 peratus pada setiap tahun berserta bonus tambahan, bererti mereka akan terima RM15,000 setahun atau RM1,250 sebulan. Jika mereka buat pinjaman perumahan sebanyak RM300,000 atau RM400,000, maka jumlah itu mencukupi untuk bayar ansuran pinjaman tersebut.
"Bagi mereka yang tercedera sepanjang Ops Daulat juga, mereka ditawar membeli saham Bank Rakyat sebanyak RM50,000 sebulan. Saya percaya selepas ini akan ada lagi bantuan-bantuan yang akan menyusul untuk semua pihak terlibat dan ini membuktikan sokongan padu dan kemurahan hati rakyat Malaysia," katanya.
Sementara itu, salah seorang penerima pingat berkenaan, Brig. Jen. Datuk Ranjit Singh Ramday menyifatkan kewujudan pingat itu memberi suntikan moral terhadap kesemua anggota keselamatan serta individu yang terlibat di dalam operasi berkenaan.