Isnin, 1 April 2013

8 suspek diburu polis


Selama: Seorang lelaki berusia 41 tahun yang terbabit dalam kes rogol serta tujuh individu lain yang melakukan pelbagai kesalahan jenayah kini diburu polis.
Ketua Polis Daerah Selama Asisten Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, suspek dikenali sebagai Ujang @ Mohd Sufian Kamarudin, 41, beralamat Kampung Tengah, Rantau Panjang, Selama, Perak dan Kampung Kuala Jempol, Bahau, Negeri Sembilan.
“Suspek dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes rogol di daerah Selama sekitar Januari lalu,” katanya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol,” katanya.. Usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan. Sehubungan itu, orang ramai yang mengetahui maklumat mengenai suspek diminta menghubungi polis,” katanya.
Menurut beliau, bagi kesalahan samun dan mencuri, beberapa suspek dikenal pasti ialah Mohd Khairul Anuar Abd Hamid, 31, dari 284 Felda Gunung Besout 01, Sungkai, Perak serta N Turaiemurugan, 38, beralamat Jalan Kemunting Bestari 2, Taman Bestari, Kemunting, Perak manakala seorang lagi adalah M Raju, 35, dari Batu 7, Ulu Sepetang, Taiping.
“Suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kes jenayah samun sekitar penghujung tahun lalu,” katanya. Wan Jamil berkata, pihaknya turut mengesan Uthman Abd Rani, 31, beralamat No 310, Bagan Baharu Ijok, Selama, Perak yang dipercayai memiliki senjata api.
Suspek lain yang turut dikehendaki polis ialah Bakri Akuman, 37, dari Batu 5, Kampung Chica, Lundang, Kota Bharu, Kelantan yang dipercayai melanggar syarat tahanan mengikut Seksyen 15 (D) Akta Pencegahan Jenayah serta R Maran, 34, beralamat Lorong Haji Taib 1, Kuala Lumpur.
Pihaknya turut mengesan Mohd Najib Mat Kassim, 35, beralamat 147, Kampung Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, Taiping kerana dipercayai terbabit dalam kejadian mencederakan orang sekitar November tahun lalu.
Beliau meminta orang ramai yang mengetahui dan mengenali individu terbabit supaya menghubungi pihaknya di talian 05-8395999 atau mana-mana balai polis berhampiran.