Kerajaan perlu melakukan segera siasatan terperinci berhubung dakwaan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna didalangi pihak dalam negara, kata Persatuan Bekas Komando Negeri Johor.
Penasihatnya, Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, dakwaan yang dibuat media dan anggota perisikan negara luar tentang dalang yang bertanggungjawab terhadap pencerobohan di kawasan timur Sabah itu merupakan sesuatu yang amat serius.
"Maklumat awal telah diperoleh (daripada media dan perisikan luar), apa yang perlu dilakukan adalah kerajaan memulakan siasatan yang serius untuk menentukan sama ada dakwaan itu ada kebenarannya atau tidak," katanya di sini hari ini.
Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya berkata, "tali barut" yang mendalangi insiden percerobohan di pantai timur Sabah itu mesti dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.
Insiden pencerobohan pengganas di pantai timur Sabah sehingga kini mengorbankan lapan anggota polis dan 53 pengganas daripada selatan Filipina itu.
Media dan laporan perisikan luar mendakwa pencerobohan pengganas ke pantai timur Sabah itu adalah di atas "jemputan" pemimpin pembangkang.
Abdul Aziz yang berkhidmat sebagai anggota Rejimen Gerak Khas (RGK) daripada 1970 hingga 1977 juga mahukan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dibawa ke Lahad Datu dan Semporna untuk melihat sendiri operasi keselamatan di kawasan terbabit.
"Bawa dia ke barisan hadapan di Kampung Tanduo dan Tanjung Batu di Lahad Datu. Kita suruh dia ikut polis dan tentera ke "Red Zone" untuk melihat sendiri ancaman pengganas itu terhadap kedaulatan negara," katanya.
Baru-baru ini, Naib Presiden PKR itu mendakwa insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna merupakan suatu sandiwara UMNO.
Abdul Aziz berkata, pembangkang kini berada di dalam terdesak sehingga sanggup mempermain-mainkan isu keselamatan negara, selain mempertikai kematian anggota polis negara. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan