Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah terdapat pihak tertentu
yang memanipulasi dan mengolah semula kandungan titah baginda bagi
menggambarkan seolah-olah baginda menyokong secara terbuka kumpulan
politik tertentu dan pada masa yang sama memperkecilkan kumpulan politik
lain.
Baginda bertitah perbuatan itu memberi gambaran tidak betul dan boleh menimbulkan salah faham di kalangan sebahagian rakyat.
"Sebarang perbuatan yang mengaitkan nama dan batang tubuh Beta untuk
meraih sokongan politik, sebenarnya boleh disifatkan telah mengheret
istana ke dalam kancah politik kepartian serta boleh dianggap telah
melanggar tatasusila serta kesopanan adab dan tertib berpolitik secara
berhemah," titah baginda.
Baginda bertitah pada Istiadat Meletak Kerja Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-85 Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Raja Nazrin bertitah institusi Raja dan takhta pada setiap masa wajib
berada di atas politik kepartian, memisah dan menjauhkan diri daripada
terlibat secara langsung dalam urusan dan kegiatan politik kepartian.
"Takhta pemerintahan wajib terus dipelihara berpendirian berkecuali,
berada di atas politik kepartian agar dapat berperanan secara saksama
sebagai payung negeri serta dapat diterima tanpa ragu sebagai institusi
penyatuan dalam kepelbagaian, terutama untuk menangani sebarang
pertentangan dan pertelagahan yang berlaku di kalangan rakyat," titah
baginda.
Raja Nazrin bertitah raja pemerintah mempunyai tanggungjawab luas dalam
memastikan bahawa semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap
undang-undang yang digubal serta kepentingan lebih besar negara dan
rakyat perlu sentiasa dilindungi.
"Pada pertengahan abad kesembilan belas, Walter Bagehot memperkenalkan
konsep triniti klasik, dengan menggariskan bahawa Raja Berperlembagaan
memiliki tiga hak; pertama: hak untuk dirunding, kedua: hak untuk
memberi nasihat, ketiga: hak untuk memberi peringatan," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah mengambil pedoman daripada konsep itu, baginda
melalui sesi tertutup atau terbuka, dalam perbincangan atau melalui
titah, telah dari semasa ke semasa menzahirkan kupasan dan ulasan
berbentuk nasihat dan pandangan, galakan dan dorongan serta peringatan
dan teguran, secara umum dan menyeluruh terhadap perkara menyentuh
kepentingan rakyat.
Titah baginda perkara itu dilakukan bagi penambahbaikan pelbagai
jabatan, agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pihak swasta serta
pertubuhan sukarela, kebajikan dan sukan.
"Dari masa ke masa Beta menzahirkan ulasan menyentuh perkara-perkara
berkaitan agama Islam, perpaduan warga, keselamatan negara, pembangunan
sosio-ekonomi, kewangan, pendidikan, kebebasan kehakiman, penyalahgunaan
kuasa, rasuah, urus tadbir yang cekap lagi telus dan pelbagai subjek
lagi, atas hasrat untuk memastikan bahawa negara terus kukuh dan aman
serta terus sejahtera dan makmur," titah baginda.
Institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa, titah baginda.
Sebenarnya, titah Raja Nazrin, kehadiran Raja bagi membantu keberkesanan
mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuh cabang eksekutif,
perundangan dan kehakiman dalam negara.
"Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras
perpaduan, payung penyatuan serta berperanan mengukuh dan mengekalkan
amalan demokrasi agar dapat ditingkatkan tahap keyakinan rakyat kepada
sistem berkerajaan berteraskan amalan demokrasi dan berpandukan doktrin
pemisahan kuasa.
"Raja memerintah dan tidak mentadbir. Raja berada di atas segala urusan
politik dan urusan pentadbiran harian. Dengan berada di strata yang
lebih tinggi, Raja hanya terlibat pada waktu dan ketika yang
diperlukan," titah baginda.
Raja Nazrin turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mencemarkan adat
resam dan budaya bangsa dalam keghairahan mendapat sokongan politik
menjelang pilihan raya umum ke-13 ini.
Dalam keadaan negara yang sedang menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran
termasuk pencerobohan yang berlaku di Sabah, baginda mengingatkan
kumpulan politik dan rakyat supaya tidak melakukan perkara yang menambah
beban kerja pasukan keselamatan.
"Keamanan dan ketenteraman negara adalah tanggungjawab bersama.
Hormatilah undang-undang dan peraturan yang ada, bertindaklah secara
berhemah dan beretika dan berhentilah dari melakukan manipulasi hingga
ke peringkat mencemar kemuliaan takhta pemerintahan," titah baginda.
Pada istiadat berkenaan, Raja Nazrin turut mengumumkan sumbangan
sebanyak RM100,000 kepada Tabung Ops Daulat daripada Yayasan Sultan
Azlan Shah.
"Di samping itu, ahli-ahli Dewan Negara Perak semasa mesyuarat yang
berlangsung pada 12 Mac lalu, setiap seorang telah bersetuju
menghulurkan sumbangan RM500 kepada tabung yang sama," titah baginda. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan