Khamis, 21 Mac 2013

Sempat ke...habiskan hukuman?


Cuba bunuh polis: Rambo Bentong dihukum penjara 18 tahun

RAUB 21 Mac - Rambo Bentong, yang sebelum ini dihukum penjara 115 tahun dan 50 sebatan bagi kesalahan merogol serta seks luar tabii, dijatuhi hukuman penjara 18 tahun lagi, kali ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis.

Hakim Mahkamah Sesyen Shahrizat Ismail menjatuhkan hukuman selepas tertuduh atau nama sebenarnya, Rabidin Satir, 42, mengaku menyerang dan mencederakan Konstabel Mohd Suhaimi Md Razali, 24, dengan sebilah parang di sebuah rumah bernombor 43 di Taman Shahbandar Husin, Bentong pada kira-kira 6 petang, 14 Nov 2012.

Rabidin, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.

Dalam penghakimannya, Shahrizat berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh ketika anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong itu cuba menahannya adalah serius dan boleh menyebabkan kematian.

Beliau kemudian memerintahkan hukuman bagi kesalahan itu dilaksana selepas Rabidin selesai menjalani hukuman penjara 115 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 5 Februari lepas, Rabidin dihukum penjara dan sebat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub terhadap empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii.

Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan bagi setiap kesalahan merogol dan penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan melakukan seks luar tabii.

Murtazadi memerintahkan Rabidin menjalani hukuman itu secara berturut-turut mulai tarikh dia ditangkap pada 14 November lepas.

Semalam, Mahkamah Majistret Bentong memindahkan kes Rabidin yang berdepan pertuduhan membunuh seorang gadis berusia 17 tahun ke Mahkamah Tinggi Temerloh.

Rabidin didakwa membunuh Annie Kok Yin Chen di Lot 4168 Kampung Ketari, Bentong antara 11.30 malam 7 Mac 2009 dan 1.50 petang 8 Mac 2009. - BERNAMA



Tiada ulasan: