Jumaat, 3 Mei 2013

Waspada apabila berjanji


RASULULLAH SAW bersabda, Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga perkara: apabila berbicara ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianati. (riwayat Muslim)

Soal janji merupakan perkara pokok dalam menggalas sesuatu amanah, apabila kata-kata manis yang disuarakan di hadapan rakyat dikhianati, maka pincanglah sesuatu masyarakat.

Sehubungan itu, Nabi Muhammad terlebih dahulu memberi peringatan kepada umatnya agar berwaspada dengan janji yang dilaungkan untuk dilaksanakan.

Hadis di atas berkait rapat dengan musim pilihan raya yang berbaki beberapa hari lagi. Pada saat inilah kita dapati parti atau calon yang bertanding menaburkan 1001 janji untuk meraih undi agar mereka dipilih untuk menyandang gelaran Yang Berhormat.

Tetapi tidak lama kemudian setelah menguasai negeri atau kawasan tertentu, janji yang dilaungkan itu sudah tidak lagi kedengaran dan akhirnya menjadi omongan kosong semata-mata.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, sebagai manusia hatta para pemimpin, wajib melaksanakan janji walaupun sekecil-kecil perkara.

Jelas beliau, hal berkenaan ditegaskan oleh Rasulullah SAW seperti mana hadis baginda dengan menyebut orang-orang tidak melaksanakan janji bersifatkan ciri-ciri munafik.

Dr. Fadlan berkata, jika pada pilihan raya lalu, sesetengah pakatan parti politik menjanjikan pelbagai tawaran demi mengaburi mata pengundi, namun apabila rakyat mempersoalkan mengapa ia tidak ditunaikan, mereka memberikan 1001 alasan.

"Oleh demikian, jangan kita melagukan macam-macam manifesto dengan 'gula-gula' yang tidak realistik bagi mengaburi mata rakyat kerana apabila tidak dilaksanakan, kesannya amat besar.

"Implikasinya adalah rakyat mengharapkan habuan melalui manifesto itu dilaksanakan tetapi apabila gagal, mereka merasakan tertipu lalu hilang kepercayaan kepada pemimpin," katanya.

Bahkan Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia itu berkata, Allah SWT berfirman dalam surah Mukminun menyebut antara sifat orang berjaya adalah mereka yang menjaga amanah dan janjinya, sekiranya ia bertentangan dengan perkara itu, maka mereka yang tidak melaksanakan janji dikategorikan orang gagal.

Tokoh agama itu menasihatkan para pengundi agar memilih pemimpin mempunyai rekod menunaikan janji sejak hampir 60 tahun lalu berbanding memilih individu atau parti yang telah diberi peluang memerintah di beberapa negeri tertentu tetapi tidak pernah mengotakan janji.

"Kepada para pengundi berwaspadalah dengan pelbagai manifesto tidak relevan berbanding dengan Aku Janji yang realistik dan mampu dilaksanakan.

"Selain itu, khususnya kepada parti dan calon, ingatlah kepada hadis disebutkan bahawa bahana bakal menimpa kepada mereka yang memungkiri janji. Ini kerana tidak tepati janji adalah salah satu ciri munafik.

"Jika mereka berbuat demikian, saya menyeru kepada mereka kembali kepada jalan benar dan taubat semoga Allah mengampunkan mereka," ujar Fadlan.

Negara Islam

Pemikiran bercelaru sesetengah pihak dengan menuduh sesuatu perkara tanpa mengemukakan asas dan bukti kukuh sebenarnya boleh mendatangkan keburukan kepada semua pihak lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan persoalan negara.

Hal itu sebenarnya berkaitan dengan tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa Malaysia adalah sebuah negara sekular selain menafikan peranan kerajaan yang selama ini berusaha gigih demi kesucian agama Islam.

Bagi menjawab tuduhan itu, terlebih dahulu baik kita teliti Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut: Agama Islam ialah agama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Kenyataan tersebut sudah jelas menafikan dakwaan di atas. Polemik berpanjangan itu boleh menggugat keamanan negara.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, hal ini boleh dengan melihat keseluruhan kandungan Perlembagaan yang antaranya menyentuh hak kesucian agama Islam di samping agama-agama lain terus dipelihara.

Jelas pengamal undang-undang itu, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan boleh diterjemahkan menerusi pengembangan dan pembangunan agama Islam yang selama ini dilakukan oleh kerajaan.

Kata beliau, hasil daripada peruntukan undang-undang itu maka tertubuh Tabung Haji, Bank Islam, pusat-pusat pengajian tinggi dan pendidikan Islam, saluran televisyen dan radio Islam, pengenalan produk-produk syariah, penaiktarafan mahkamah syariah dan lain-lain.

"Sehubungan itu, saya menjelaskan bahawa tuduhan berpanjangan itu sebenarnya boleh memberi implikasi kepada pembangunan terhadap agama Islam yang dikecapi selama ini sedangkan kandungan dalam perlembagaan menjamin kesucian agama," jelas beliau.

Walaupun pihak berkenaan mendakwa isu gejala sosial berlaku di sebalik tuduhan Malaysia sebagai negara sekular, dakwaan berkenaan tidak berasas sama sekali memandangkan pelbagai akta digubal untuk membendung masalah itu. Hal ini bertepatan dengan salah satu prinsip jenayah Islam iaitu takzir.

Oleh itu, Zainul Rijal menyelar tuduhan tidak berasas itu dengan mengajak mereka untuk memahami prinsip Perlembagaan Persekutuan yang sebenarnya menepati roh Islam.

"Janganlah kita menuduh sebarangan, marilah kita bersama-sama kerajaan membangunkan agama Islam demi meneruskan misi dakwah Rasulullah SAW," tegas Zainul Rijal.

Nada sama turut disuarakan Fadlan dengan menerangkan perbezaan organisasi pernah melaksanakan tanggungjawab berbanding gah atas nama slogan.

"Selama 55 tahun, siapakah yang melakukan pembangunan dan menjaga kedaulatan agama Islam berbanding slogan parti tertentu yang mengatakan mereka memperjuangkan Islam?

"Jika kerajaan sedia ada kini tidak memperjuangkan agenda Islam, macam mana boleh terbinanya pelbagai pembangunan yang bertepatan dengan syariat Islam.

"Jangan bangga atas nama namun isinya kosong tetapi kita perlu melihat rekod dan kejayaan pembangunan terhadap agama Islam selama ini," kata beliau.