Sabtu, 4 Mei 2013

Tindakan tegas jika berkonvoi


IPOH - Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana parti politik dan penyokong yang menganjurkan konvoi bermotosikal khususnya pada hari pengundian esok.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya tidak mahu ketenteraman proses pengundian diganggu dengan perbuatan sedemikian yang akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Katanya, larangan tersebut selaras peruntukan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Pihak polis bahkan saya secara peribadi menerima banyak aduan mengenai ketidakselesaan orang ramai yang berhadapan kelibat peserta konvoi bermotosikal di seluruh negeri ini.

“Larangan tersebut selaras dengan bermaksud memandu dalam gaya yang cepat dan bergegas-gegas dan kita memberi amaran kepada semua yang terlibat supaya tidak menganjurkan (konvoi) terutama berdekatan lokasi-lokasi pusat pengundian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Katanya, bagi memastikan larangan tersebut dipatuhi pihaknya akan menempatkan lebih ramai anggota cawangan trafik di semua 24 kawasan parlimen di negeri ini.