Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim mengingatkan kepada Datuk Seri Azalina Othman Said yang baru dilantik sebagai menteri untuk tidak merasa dirinya lebih besar daripada kuasa Allah.
“Sepatutnya dia sebagai seorang menteri perlu insaf dan faham bahwa dia masih tidak terlepas daripada menjadi hamba Allah. Apabila menjadi menteri bertambahlah tanggungjawabnya menjadi khalifah Allah. Jawatan itu harus digunakan untuk memelihara peraturan Allah berlangsung kepada hamba-hambaNya, bukannya teruja dengan cara hidup Barat sehingga terlupa dia masih berbumbungkan langit Allah, tumpang berpijak di atas hamparan tanah Allah dan menghirup setiap detik udara Allah. Jadilah hamba Allah yang patuh dengan peraturan Allah termasuk dalam berlakon, berpakaian dan sebagainya,” katanya mengulas kenyataan Azalina semalam berhubung isu tapisan adegan seksi dan ghairah drama dan filem tempatan.
Ini berikutan Azalina menegur pihak di Lembaga Penapisan Filem (LPF) agar tidak berfikiran sempit dan perlu mengkaji semula garis panduan penapisan bagi penerbitan drama atau filem. Baginya isu mengenai adegan pasangan bercinta berpegangan tangan atau berpelukan tidak perlu diperbesarkan memandangkan ia sekadar lakonan yang tidak mengundang maksiat terhadap penonton.
“Isu ini dah jadi agak merepek kerana sesebuah drama atau filem merupakan industri kreatif dan apa yang dipaparkan di televisyen adalah sebuah lakonan. Kalau nak cakap babak-babak itu (berpelukan) boleh mengundang perlakuan tidak senonoh, rasanya tidak perlu medium televisyen, (kerana) di internet, hanya di hujung jari saja sudah boleh mempengaruhi masyarakat,” kata Azalina.
Bidas Ustaz Zamri, begitu rendahnya sistem nilai seorang menteri yang hanya menilai kualiti filem berdasarkan adegan yang di luar batas syarak.
“Sedangkan nilai sesuatu filem itu adalah berdasar nilai yang diangkat dalam filem berkenaan tidak semestinya wajib ada adegan yang mempromosikan mungkar dan maksiat. Ingatlah, memperjuangkan kebebasan ala Barat tanpa melihat peraturan Al-Quran adalah tanda-tanda sempitnya ufuk hidup sesorang apabila mengikat diri dengan sistem yang memperjuangkan hawa nafsu sedangkan Al-Quran telah seribu tahun telah membebaskan manusia dari penjajahan hawa nafsu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan