Isnin, 10 Ogos 2015

ANAK NAJIB SERU RAKYAT JANGAN JATUHKAN BAPANYA

Anak lelaki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu serangan yang dilemparkan kepada bapanya dihentikan segera. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Ogos, 2015.

Anak lelaki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta serangan bertalu-talu yang dilemparkan terhadap bapanya dihentikan segera kerana ia akan menyebabkan negara sendiri terkorban.

Menganggapnya sebagai serangan peribadi, Mohd Nazifuddin Najib berkata, tuduhan itu bukan saja memberi kesan kepada bapanya, tetapi akan menyeksa rakyat dan mempengaruhi sokongan rakyat terhadap kerajaan.

"Ketiadaan kepercayaan akan membuatkan masyarakat sanggup 'mengorbankan' negara semata-mata untuk menjatuhkan perdana menteri.

"Ini kerana pelabur asing takut untuk melabur kerana beranggapan negara tidak stabil sekali gus menyebabkan nilai mata wang kita jatuh dan seterusnya akan mempengaruhi ekonomi secara keseluruhannya," katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia selepas merasmikan Cafe Jaringan Melayu Malaysia (JMM) di Kuala Lumpur, semalam.

Nazifuddin berkata, tuduhan itu dilihat sebagai rancangan pihak berkepentingan semata-mata untuk menjatuhkan bapanya.

"Pihak berkenaan harus sedar tekanan yang mereka berikan tidak membaiki keadaan sebaliknya memburukkan situasi negara dalam pelbagai aspek seterusnya kita sendiri yang akan terkesan.

"Saya berharap masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang tidak sahih dan memikirkan implikasinya terhadap kesejahteraan negara dalam jangka masa panjang," katanya. – 10 Ogos, 2015.

Tiada ulasan: