SHAH ALAM - Setelah dua minggu misi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan, masih belum ada sebarang petunjuk tepat yang membolehkan penemuan MH370.
Misi SAR ini adalah yang terbesar di dunia setakat ini, melibatkan 26 negara berkongsi kepakaran serta aset bagi merungkai misteri kehilangan pesawat, bersama 227 penumpang dan 12 anak kapalnya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, operasi SAR kini tertumpu pada koridor selatan dan utara, yang keduanya diberikan keutamaan yang sama.
Bagaimanapun, selepas seminggu aset dan anggota yang terlibat digerakkan, masih belum ada jawapan yang pasti.
Kelmarin, penemuan objek bersaiz 24 meter di perairan Australia menggemparkan pelbagai pihak, tetapi kerajaan negara itu belum sahkan sama ada objek itu milik MH370 atau tidak.
Tinjauan Sinar Harian di laman-laman sosial dan blog mendapati ramai yang mempersoalkan kebolehan radar dan satelit yang dimiliki negara-negara terlibat, termasuk Malaysia.
Penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mohd Noor berkata, perkongsian maklumat radar dan satelit antara negara satu perkara yang amat sensitif.
“Setakat ini kita hanya boleh tahu maklumat itu berdasarkan sidang media rasmi oleh pihak kerajaan dan negara terlibat. Namun di sebalik itu, ada maklumat yang diperoleh negara itu masih disimpan.
“Contohnya selepas lapan hari (MH370 dilaporkan hilang) baharu data radar didedahkan berjaya mengesan pesawat itu melalui kawasan Andaman dan sebagainya. Begitu juga pada Australia; selepas lima hari mereka menggunakan radar mereka, baru diberitahu penemuan objek tersebut,” katanya.
Menurutnya, semua negara terlibat berhati-hati untuk mendedahkan maklumat yang ada kerana ia umpama menyerah diri kepada musuh.
“Sebagai contoh, Australia memberitahu penemuan objek itu. Dalam masa yang sama, musuh mereka akan mempersoalkan kenapa 25 negara lain tidak jumpa apa-apa.
“Persoalan itu akan timbul dan orang akan memberi perhatian terhadap kepakaran yang digunakan (oleh Australia). Maka secara tidak langsung, pertahanan mereka sedikit terjejas melalui perkongsian maklumat itu,” katanya.
Isnin lalu, Hishammuddin, turut mengakui bahawa perkongsian maklumat melalui misi mencari MH370 ini sedikit sebanyak menjejaskan pertahanan negara namun pada keadaan yang tidak membimbangkan.
“Tumpuan kita adalah mencari MH370. Walaupun sedikit terjejas, kita akan melihat aspek ini untuk masa hadapan,” katanya.
Malaysia mengetuai operasi itu, yang disertai Australia, Bangladesh, Brunei, China, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Laos, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Filipina, Russia, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Turkmenistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Amerika Syarikat, Uzbekistan dan Vietnam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan