Khamis, 16 Januari 2014

Kawasaki W800

Kawasaki W800

Sekali pandang, anda mungkin tidak dapat meneka jenis motosikal ini dengan jelas. Mungkin juga anda akan beranggapan ia adalah hanya sebuah motosikal yang dipulihara semula. Realitinya, ia merupakan jentera klasik moden W800 hasil keluaran Kawasaki.


Model ini dihasilkan Kawasaki di bawah produksi siri W yang memiliki gaya retro klasik sejak dikeluarkan pada 1965. Pada hari ini, ramai peminat gaya retro di luar sana dan tidak kurang juga yang mempunyai hobi mengumpul motosikal lama.

Sebenarnya, bukan kerja mudah untuk membela motosikal yang sudah dimamah usia. Sudah pasti ia menelan belanja yang tinggi.

Ada juga niat di dalam hati untuk memiliki sebuah motosikal klasik. Namun, niat murni saya itu kadangkala disalahertikan, terdengar juga bebelan daripada ibu kerana menganggap ia sebagai satu pembaziran.

Bagi tujuan ingin merasai perwatakan motosikal klasik, saya mendapatkan unit tunggang uji W800 daripada Kawasaki Malaysia.

Unit tunggang uji yang disediakan merupakan siri edisi khas W800 yang dikeluarkan pada 2012. Unit ini mempunyai rim jejari berwarna emas, ekzos berkembar dan enjin yang dicat warna hitam.

Triumph mungkin mempunyai nama yang besar dalam menghasilkan jentera klasik seperti Bonneville dan sementara itu, Moto Guzzi mula bangkit dengan jentera berkonsepkan Cafe Racer, V7 Classic.

Kawasaki W800 yang mempunyai identiti motosikal klasik British - BSA juga tidak kurang hebatnya daripada segi rupa dan gaya yang diterapkan.

Susunan enjin berkembar selari berjaya mengekalkan karakter vintaj jentera ini. Tanpa sistem sejukan cecair seperti motosikal berkuasa tinggi moden lain, ia tampak lebih kemas dan pengukuhan konsep klasik berkesan di samping reka bentuk keseluruhannya.

Kemasan krom pada bahagian-bahagian badan pula merupakan satu langkah bijak Kawasaki untuk serlahkan karakter jentera ini. Reka bentuk tangki bahan api, lampu hadapan, lampu belakang, lampu isyarat dan rekaan pelana sudah cukup untuk memberi pesona klasik.

Akan tetapi, terdapat beberapa komponen yang terpaksa menggunakan barangan moden seperti penggunaan brek cakera di bahagian hadapan, sistem penghidup elektrik dan juga sistem suntikan bahan api.

Pada awal tunggangan, saya amat mengagumi pengendalian kotak gear W800. Penukaran gear lembut tanpa sentakan yang keras. Daya pecutan awal sedikit perlahan, tetapi respons enjin beransur lebih baik selepas ia mula bergerak.

Tunggangan W800 tidak banyak memerlukan penurunan gear melainkan semasa memotong kenderaan lain.

Keserasian dan keseronokan tunggangan dapat dirasakan dengan cepat. Walaupun bentuk badannya kelihatan sarat dengan besi, ia ringan dan mudah dikendalikan.

Sistem penyerap hentak bahagian belakang agak lembut tetapi peranannya munasabah untuk menyediakan keselesaan tunggangan.

Cuma, dalam kelajuan 120 kilometer sejam (km/j) ke atas, motosikal sedikit berayun. Akan tetapi, sedikit berbeza apabila saya membawa pembonceng. Kadar ayunan minimum dan lebih selesa berbanding menunggang berseorangan.

Saya menikmati perjalanan selesa dengan tunggangan pada kadar kelajuan 100 km/j. Tunggangan menaiki bukit langsung tidak menjadi masalah.

Perjalanan mendaki ke Genting Highlands lancar dan cukup mudah mengendalikannya di selekoh.

Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan tawaran prestasi, keupayaan pengendalian dan nilai yang diberikan W800.

Jentera ini lebih sesuai untuk tunggangan santai pada hujung minggu dan ia boleh dipertimbangkan terutamanya kepada peminat klasik yang tidak mahu dibebani kos untuk memulihara jentera lama.

Tiada ulasan: