Khamis, 16 Januari 2014

Jalur lebar di kawasan industri

Jalur lebar di kawasan industri


KULAIJAYA - Telekom Malaysia (TM) bersedia membawa masuk kemudahan jalur lebar ke kawasan pembangunan industri minyak dan gas di Pengerang, Kota Tinggi.


Persediaan dari segi perancangan dan infrastruktur meningkatkan pembangunan di kawasan terbabit.

Naib Pengerusi TM negeri, Mohd Roslan Mohd Rashidi berkata, kemudahan itu juga dijangka dapat membantu pembangunan industri tersebut dengan lebih efisien dan berteknologi tinggi.

Menurutnya, pihaknya telah membuat perancangan jangka masa panjang untuk membantu membangunkan kawasan industri minyak dan gas berkenaan.

“Setakat ini, kita bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memudahkan perpindahan penduduk supaya kawasan yang dikenal pasti dapat dibangunkan itu untuk peringkat pertama.

“Selepas kawasan itu dibangunkan, kami akan bawa masuk perkhidmatan seperti unifi yang lebih canggih untuk membantu meningkatkan pembangunan di Pengerang,” katanya selepas program menandatangani perjanjian TM
bersama pemaju hartanah Axis AME IP Sdn Bhd (Axis AME) di galeri jualan iPark Indahpura, semalam.

Perjanjian itu untuk menjalankan perkongsian pintar bagi pembangunan prasarana dan perkhidmatan rangkaian jalur lebar fasa ketiga iPark@Indahpura.

Ia lanjutan perkhidmatan pertama yang pernah ditandatangani pada Oktober 2012 yang mana kali ini TM diwakili Mohd Roslan dan Penolong Pengurus Besar SME Johor, Mohd Nizam Mohd Yunan.

Manakala Axis AME pula diwakili Pengarah Eksekutifnya, Datuk Stewart Labrooy dan Pengarah Urusannya, Kelvin Lee Chai.

Mohd Roslan berkata, sebagai permulaan, 100 Mega byte (mgb) Unifi akan dibawa selepas proses pemindahan penduduk selesai dilaksanakan pihak berkaitan.

“Kerjasama dalam bidang industri minyak dan gas bukanlah kali pertama dilaksanakan oleh TM, malah usaha seperti ini kita pernah lakukan di Pantai Timur.

“Tetapi, kali ini di Pengerang akan mengambil masa mungkin agak lama bagi meningkatkan lagi perkhidmatan dari segi kapasiti, data dan kandungan pada masa akan datang,” katanya.

Tiada ulasan: