Selasa, 3 September 2013

Sang Saka: A Samad Said diminta serah diri


KUALA LUMPUR - Polis mahu Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyerah diri bagi membantu siasatan polis berhubung insiden mengibar bendera selain Jalur Gemilang pada malam sambutan Ambang Merdeka, di sini, Jumaat lalu.
"Sebelum kami menangkapnya, lebih elok kalau beliau menyerah diri.
"Lagipun, kita anggap kalau berani cabar undang-undang, maka beranilah juga untuk (beliau) tampil ke depan," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Khalid bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perbarisan tamat latihan dan pentauliahan Kor Sukarelawan Siswa-siswi Polis (Suksis) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kesembilan di sini hari ini.
Menurutnya, sasterawan itu merupakan antara tiga individu yang dilaporkan dilihat dalam insiden berkenaan.
Dua individu lain iaitu aktivis propembangkang Adam Adli Abdul Halim dan Hishamuddin Rais ditahan polis malam semalam di Kampung Baru di sini dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Khalid berkata siasatan kes juga mungkin dijalankan tidak hanya mengikut Akta Hasutan 1948, malah mencakupi peruntukan undang-undang lain melibatkan bendera dan lagu kebangsaan.
"Kini mereka (Adam dan Hishamuddin) sedang disoal siasat," katanya.
Pada sambutan malam kemerdekaan Jumaat lalu, sekumpulan aktivitis propembangkang dilihat bertindak mengibarkan bendera lain bagi menggantikan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka di sini. 

Tiada ulasan: