Khamis, 5 September 2013

Akhirnya Bront mengaku sudah nikah

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Ramai yang tahu bahawa aktor Bront Palarae, 35, sudah sah bergelar suami kepada seorang penerbit di sebuah agensi pengiklanan pada 31 Ogos lalu.

Majlis pernikahan secara tertutup di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, di sini sempat dihadiri oleh wartawan dan jurufoto Utusan Malaysia.

Bagaimanapun sewaktu berita pernikahan itu disiarkan 3 September lalu, foto majlis yang dihadiri ahli keluarga terdekat itu tidak dapat disiarkan kerana semua gambar dipadam atas arahan seorang kenalan Bront.

Namun untuk tidak menghampakan peminat Bront, Utusan Malaysia berjaya mendapatkan semula foto pernikahan tersebut.

Sebelum ini, Bront telah mengeluarkan satu kenyataan penafian di sebuah portal hiburan bahawa dia telah bernikah.

Bagaimanapun hari ini dalam sebuah portal hiburan dan akhbar tempatan, pelakon filem Psiko Pencuri Hati itu mengaku bahawa dia telah menikah. Majlis resepsi pihak Bront akan diadakan di kampung halamannya di Hatyai, hujung tahun ini.

Pada ketika ini Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, sibuk mempromosi filem Psiko Pencuri Hati, arahan Nam Ron yang mana dia memegang watak Sidi.

Lain-lain pelakon yang menjayakan filem pertama arahan Nam Ron yang mula ditayangkan di pawagam mulai hari ini adalah Sharifah Amani, Sein Ruffedge, Shera Aiyob dan Amerul Affendi. - UTUSAN ONLINE




Tiada ulasan: