Sabtu, 8 Jun 2013

Polis minta individu terlibat hina Agong serah diri......

KUALA LUMPUR: Polis meminta individu yang membuat kenyataan berunsur menghina titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial, tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang didapati berbuat demikian.

"Ini bukan budaya rakyat Malaysia. Guna perkataan yang tidak baik untuk menghina...polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang cuba biadab terhadap raja-raja Melayu mahupun pemimpin. Polis akan ambil tindakan sewajarnya," katanya di sini Jumaat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di antara Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin selaku penyandang kepada Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah.

Khalid berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalah guna kebebasan media sosial untuk menghina institusi raja dan juga pemimpin.

Selasa lepas, seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu itu dan wanita berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas mengenai perhimpunan yang mahu dianjur pembangkang pada 15 Jun ini, Khalid berkata pihaknya telah menerima notis pemberitahuan daripada penganjur namun polis menolak notis itu kerana tidak memenuhi syarat.

"Ya, memang kita ada terima notis daripada mereka. Tetapi kita telah tolak kerana tidak memenuhi beberapa syarat seperti tidak meminta kebenaran daripada tuan punya kawasan...jadi mereka perlu memenuhi syarat dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mendapatkan kebenaran daripada pemilik kawasan dan pihak polis akan menerima kembali notis itu, " katanya.

Perhimpunan yang digelar "Black 505" itu dijangka diadakan di Padang Merbok di sini, yang terletak di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.



Tiada ulasan: