Tun Mahathir Mohamad |
Meningkatkan tekanannya kepada kerajaan berhubung kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Dr Mahathir Mohamad berkata syarikat pelaburan nasional bukan saja perlu diaudit tetapi perlu disiasat polis.
"Yang diperlukan bukan audit biasa buku akaun. Yang diperlukan ialah siasatan forensik oleh polis akan tuduhan yang dibuat terhadap beberapa orang yang terlibat dengan pengurusan wang 1MDB," katanya di blognya hari ini.
"Sesungguhnya 1MDB menimbul banyak soalan tentang pengurusan dan kegunaannya. Dan jumlahnya juga amat besar. Rakyat berhak merasa curiga akan cara dan kegunaan wang mereka yang banyak ini.
"Ulasan bahawa semua tuduhan adalah fitnah tidak mencukupi. Mereka yang mendakwa bahawa ada penyelewengan dalam pengurusan 1MDB berani membuat kenyataan terhadap Kerajaan dan individu-individu tertentu walaupun terdedah kepada tindakan saman malu," tambah mantan perdana menteri.
"Tetapi mereka mendakwa mereka memiliki bukti-bukti yang jelas seperti e-mel, surat perjanjian dan bukti-bukti lain. Tarikh dan nama-nama diberi tanpa bersembunyi. Pembohongankah tuduhan mereka!!
"Sehingga kini kerajaan tidak menjawab secara yang masuk akal. Umpamanya 1MDB tidak punyai masalah kerana asetnya lebih dari hutang.
"Tetapi hanya untuk bayar faedah RM2 billion, tidak ada wang sehingga tidak dapat tutup akaun ikut jadual. Kemungkinan terpaksa hutang untuk bayar faedah."
Jumaat lalu, timbalan perdana menteri juga menggesa "audit forensik" dijalankan terhadap syarikat yang dilanda kontroversi itu.
"Audit forensik hendaklah dilaksanakan untuk menentukan tiada penyelewengan kewangan berlaku dalam urusniaga 1MDB," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mahathir juga membangkitkan semula beberapa dakwaan melibatkan 1MDB yang dibangkitkan sebelum ini, termasuk kecurigaan terhadap usahasamanya dengan PetroSaudi dan simpanannya di kepulauan Caymen.
“Ada yang disebut berkenaan PetroSaudi yang juga menerima bayaran ratusan juta dolar dari 1MDB. Benarkah PetroSaudi ini mendapat konsesi kawasan minyak dan gas di Argentina, di Turkmenistan dan lain-lain. Apa buktinya?
“Benarkah JV (usahasama) dibuat dengan PetroSaudi sebelum ‘due diligence’ dibuat. Katanya sementara 1MDB melabur USD1 bilion dalam JV dengan PetroSaudi, tetapi Petro Saudi tidak melabur satu sen pun. Apa jadi kepada wang IMDB dalam JV tidak jelas.
“Apa sebabnya lebih dari 6 bilion ringgit (dollar) disimpan di Cayman Island? Kerajaan tidak pernah simpan duit di lain negara selain pembelian bon. Apakah bon dibeli? Apa hasilnya?” soal Mahathir bertalu-talu.
“Katanya wang sebanyak USD1 bilion sudah dibawa balik dari Cayman dan disimpan dalam bank Singapura. Kononnya Bank Negara menjadi masalah kerana proses menyimpan wang yang banyak mesti melalui proses yang rumit.
“Bolehkan Bank Negara jelas kenapa menimbul masalah sedangkan 1MDB adalah syarikat kerajaan yang dikuasai oleh Kementerian Kewangan. Jika mudah di Singapura kenapa susah sangat di Malaysia?”
Mahathir juga menuntut penjelasan sama ada hartawan Ananda Krishnan memberi pinjaman RM2 bilion untuk membayar faedah berkaitan dan mahu butiran terperinci dinyatakan.
“Apakah faedah yang dikenakan oleh Ananda? Apa cara bayaran balik hutang Ananda? 1MDB dikatakan untung. Kenapa tidak dapat bayar faedah 2 bilion ringgit,” kata veteran Umno itu.
Dalam artikel panjang itu, beliau pergi lebih jauh dengan membangkitkan keraguan terhadap urusniaga 1MDB dalam pembelian tanah tanah di pelbagai tempat serta stesen janakuasa.
“Apakah harga yang dibayar? Apakah tanah ini yang dikatakan aset 1MDB? Bagaimanakah dinilai harga tanah ini? Kerajaan berhak mendapat pulangan yang setimpal apabila tanah ini dijual kepada sesiapa pun.
“Berapakah harga satu kaki persegi. Tanah berdekatan dijual dengan harga RM7,000 satu kaki persegi. 1MDB juga membeli tanah di Pulau Pinang. Apa harganya. Apa jenis pembangunan yang dicadangkan. Sudah dimulakankah?
“Jika tanah-tanah ini menjadi aset 1MDB, apakah nilai tinggi aset ini disebabkan kenaikan (revaluation) dari harga belian yang murah dan harga pasaran yang tinggi.
“1MDB meminjam lebih dari 10 bilion ringgit untuk beli beberapa stesen janakuasa. Harga yang dibayar dikatakan lebih tinggi dari harga pasaran. Lesen stesen-stesen ini akan mati tidak lama lagi.
“Kenapa tidak tunggu hingga lesen mati sebelum membeli. Harga selepas mati lesen tentu amat rendah. Membeli dengan harga tinggi sebelum lesen mati amat merugikan,” katanya.
Bagaimanapun 1MDB dan Jho Low menafikan sebarang salah laku dalam urus niaga mereka.
Perdana menteri juga menafikannya dan bercadang menyaman akhbar PAS Harakah atas dakwaan, antaranya, anak tirinya mendapat dana 1MDB.
PetroSaudi International (PSI) sebelum ini menolak kritikan dalam talian yang tidak tepat mengenai 1MDB yang pernah menjalin usaha sama dengannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan