Jumaat, 11 April 2014

Tembak dua anggota polis, suspek dipercayai cuba meragut.


Tembak dua anggota polis, suspek dipercayai cuba meragut

AMPANG JAYA: Penjenayah yang menembak dua anggota polis di Jalan Lembah Maju 1/16, Taman Lembah Maju, Pandan Indah di sini disifatkan sebagai seorang yang berbahaya dan kejam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata ketika kejadian suspek dalam lingkungan 30an itu bersama rakannya dipercayai sedang mencari-cari mangsa untuk diragut.

"Berdasarkan kelakuan mereka yang sangat mencurigakan, kita percaya mereka ini cuba mencari mangsa untuk diragut dan kawasan tersebut juga merupakan satu kawasan yang sibuk dengan orang ramai lalu lalang di situ," kata Rahim dalam satu sidang media di Balai Polis Pandan Indah.

Anggota polis yang cedera itu dikenali sebagai Lans Koperal Lional Richard Jr, 26, dan Konstabel Zul Fazli Atlahi ,28.

"Lional yang cedera ditembak dua das tembakan di bahagian perut oleh suspek sudah lapan tahun berkhidmat dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) manakala Zul Fazli yang cedera sedikit terkena tembakan dibawah perutnya pula baru masuk empat tahun perkhidmatannya dalam PDRM," katanya lagi.

Polis juga menemui motorsikal yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan mendapati ianya menggunakan nombor plat palsu.

"Berdasarkan nombor chasis motorsikal tersebut, ianya telah dilaporkan hilang di Setapak pada tahun lalu,".

Kedua-dua mangsa kini dalam keadaan stabil dan pembedahan untuk mengeluarkan peluru dari perut Lans Koperal Lional dijangka akan dilakukan pada petang ini.

Gerakan besar-besaran memburu suspek telah dipergiatkan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dijangka akan melawat kedua-dua anggota polis tersebut sekitar jam 4.30 petang ini.

Tiada ulasan: