Ahad, 9 Februari 2014

Nilai ambil alih AES masih dirunding

IPOH - Kerajaan masih berunding untuk menentukan nilai bagi cadangan pengambilalihan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dari syarikat projek berkenaan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata tiada tempoh tertentu diputuskan untuk kedua-dua pihak mencapai persetujuan.
    
Namun, beliau yakin persetujuan dapat dicapai pada akhir rundingan tersebut.
    
"Dalam keputusan berkaitan komersil, ia bergantung kepada kesediaan pembelidan penjual, kita tidak boleh jangka persetujuan mesti dicapai dalam tempoh seminggu, dua minggu...apabila ada rundingan kedua-dua pihak mempunyai pakar perunding berhubung angka (nilai) yang kita boleh seragamkan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Tambun di Chemor di sini hari ini.
    
Beliau berkata rundingan berkenaan tidak begitu sukar memandangkan ia mempunyai asas teknikal yang boleh diteliti secara analisis kualitatif, dan pada akhirnya beliau yakin kedua-dua pihak boleh mencapai persetujuan pengambilalihan AES.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengetuai pihak kerajaan dalam rundingan itu, katanya.
    
Dalam satu kenyataan pada Rabu lepas, kementerian itu berkata langkah pengambilalihan sistem tersebut sejajar dengan keputusan kerajaan untuk mengambil alih projek AES daripada Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd, dua syarikat yang pada asalnya diamanahkan untuk mengurus sistem berkenaan melalui AES Solutions Sdn Bhd, syarikat milik Prokhas Sdn Bhd.
    
Penilaian pengambilalihan itu berdasarkan pengiraan aliran tunai terdiskaun yang saksama dan berpatutan bagi ekuiti termasuk nilai aset dan liabiliti. - Bernama

Tiada ulasan: