Khamis, 11 Julai 2019

CADANGAN MENCANTUMKAN LADANG FELDA MENJADI ESTET BESAR. APAKAH KESANNYA DARI SEGI PERUNDANGAN HARTANAH?

CADANGAN MENCANTUMKAN LADANG FELDA MENJADI ESTET BESAR. APAKAH KESANNYA DARI SEGI PERUNDANGAN HARTANAH?

 1. Baru-baru ini Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan merancang mencantumkan tanah peneroka FELDA sebagai satu entiti pengurusan estet yang besar bagi memastikan hasil tanaman dan keuntungan dapat dipertingkatkan.

2. Dari sudut ekonomi,  ianya mungkin satu cadangan yang baik kerana melalui pendekatan tersebut ia dapat menjana pendapatan tambahan kepada peneroka dan peneroka tidak lagi terlalu bergantung dengan tanaman kelapa sawit dan getah.


3. Namun dari sudut perundangan, saya melihat cadangan tersebut perlu diperhalusi untuk mengelakkan berlakunya masalah jangka masa panjang terutamanya dari sudut ketuanpunyaan, pemilikan dan pewarisan terhadap tanah ladang tersebut. Apatah lagi kaedah penyantuman ladang-ladang tersebut pun masih belum jelas dan masih di peringkat cadangan. 


4. Jika kita rujuk kepada Seksyen 146 Kanun Tanah Negara 1965, sekiranya tanah ladang milik peneroka itu ingin digabungkan menjadi satu estet besar di bawah kaedah penyatuan (amalgamation), maka semua suratan hakmilik (geran tanah) keseluruhan tanah ladang tersebut akan disatukan menjadi satu lot tanah yang akan mempunyai satu suratan hakmilik (geran tanah) sahaja.


5. Jika kaedah ini dilakukan, di dalam suratan hakmilik (geran tanah) estet besar tersebut kelak akan tersenarai semua nama peneroka-peneroka sesuatu FELDA. Maknanya kalau tanah rancangan Felda tersebut mempunyai 500 orang peneroka, maka melalui kaedah penyatuan (amalgamation) tanah ladang menjadi tanah estet besar ini, kesemua nama peneroka akan dimasukkan di dalam geran tanah estet besar tadi sebagai pemilik bersama (co-proprietors).


6. Situasi ini boleh menimbulkan pelbagai masalah di kemudian hari terutamanya sekiranya peneroka-peneroka tersebut meninggal dunia di mana daripada 500 penama asal dalam geran tadi ia mungkin akan menjadi ribuan penama setelah nama waris-waris peneroka yang telah meninggal dunia tadi dimasukkan ke dalam geran estet besar. 


7. Bayangkan, kalau dalam satu geran tanah yang ada 2 atau 3 orang penama pun sudah berlaku perbagai masalah, apatah lagi sekiranya dalam geran besar tersebut mempunyai ribuan penama. Saya tidak boleh bayangkan kalau keadaan tersebut benar-benar berlaku.


8. Jadi saya fikir dari segi kesan perundangan jangka masa panjang,  cadangan melalui pendekatan tersebut agak tidak praktikal untuk dilaksanakan.


9. Selain daripada itu,  saya juga melihat cadangan penyantuman ladang-ladang tersebut di bawah kaedah penyatuan (amalganation) bakal bercanggah dengan beberapa peruntukan dalam Akta GSA itu sendiri.

10. Pertamanya dari segi soal ketuanpunyaan di mana Akta GSA mensyaratkan hanya 2 penama sahaja yang boleh diletakkan dalam geran tanah Felda dalam satu-satu masa. Apabila penyatuan tanah ladang tersebut dilakukan sudah pasti di dalam geran tanah estet besar kelak bakal mempunyai banyak penama.


11. Keduanya dari segi soal pewarisan tanah FELDA di mana Akta GSA mensyaratkan hanya 2 penama sebagai pentadbir sahaja boleh diletakkan dalam geran sekiranya peneroka tersebut meninggal dunia. Sedangkan jika penyatuan tanah ladang tersebut dilakukan, dalam geran estet besar nanti bakal ada banyak nama dimasukkan sebagai pentadbir. 


12. Ketiganya dari segi siapakah yang akan pegang geran estet besar tersebut jika ianya dikeluarkan kelak? Adakah semua peneroka akan bergilir-gilir memegangnya? Atau geran tersebut akan dipegang oleh pihak FELDA sendiri? Jika ya apakah hak FELDA untuk pegang geran estet tersebut sedangkan mereka bukanlah pemilik di dalam geran? 


13. Persoalan-persoalan di atas memerlukan pencerahan jelas daripada pihak Felda dan Kerajaan sendiri.


14. Cuma secara peribada saya merasakan, mengambil kira kesan-kesan besar yang saya nyatakan diatas, saya yakin dan percaya pihak  FELDA  dan kerajaan mungkin tidak akan mengambil pendekatan menyatukan ladang-ladang peneroka tersebut di bawah kaedah amalgamation sebagaimana yang saya nyatakan di atas. Bahkan saya juga tidak fikir kerajaan akan meminta semua peneroka memindahmilikkan ladang-ladang mereka kepada FELDA untuk diuruskan menjadi estet besar. 


15. Berkemungkinan besar, alternatif yang mungkin dilakukan oleh Kerajaan dan FELDA adalah meyakinkan semua peneroka untuk  memberi Surat Wakil Kuasa (PA) kepada FELDA tertakluk kepada terma dan syarat dari segi pembahagian hasil keuntungan ladang dan sebagainya, di mana melalui pendekatan ini peneroka masih kekal sebagai pemilik berdaftar dalam geran, tetapi  segala urusan berkaitan pentadbiran dan pengurusan estet besar tersebut adalah di bawah bidang kuasa dan seliaan pihak FELDA. Pendekatan ini mungkin dilihat lebih praktikal. Cuma persoalannya adakah peneroka Felda akan bersetuju untuk menandatangani PA tersebut?


16. Apapun saya serahkan kepada pihak kerajaan dan pengurusan Felda untuk memperhalusi lagi cadangan tersebut  khususnya dari aspek perundangan dan seterusnya memberi pencerahan yang jelas kepada rakyat amnya dan peneroka FELDA khususnya tentang cadangan tersebut. 


Sekian terima kasih.


SALKUKHAIRI ABD SUKOR

Pengerusi
Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR)

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2560008374038734&id=100000887897702